Friday, November 12, 2010

Akibat Fanatik

Sikap Fanatik adalah Musuh Sunan
Tidak kira samada sikap dari PAS atau UMNO atau lain-lain


بسم الله الرحمن الرحيم قال رسول الله صلى الله عليه وسلم (التعصب عدوى).م


Sabda Rasulullah s.a.w. (Sifat Taksub itu adalah musuhku) iaitu sifat yang telah termaktub di dalam sejarah telah memecah-belahkan umat manusia.



Alangkah hampanya hati ini, betapa memahami pengajaran ini, betapa hendak mendengar nasihat dari belas kasihan Tuhan yang dibawa oleh para Anbiya, telah zahirnya di kalangan pengikut-pengikut mereka yang mengharapkan fahaman bid'ah(diada-adakan) yang beraneka, ajaran-ajaran batil dan sesat supaya binasa di muka bumi ini.



Jika tidak, tubuhku ini hampir ditimpa demam panas kerana berturut-turut datangnya pelbagai bentuk fanatik yang telah menjadi bangkai hidup kembali seperti semangat fanatik kebangsaan dan fanatik kenegaraan. Datang pula bentuk fanatik keturunan dan warna kulit di samping berlaku semua kerakusan terhadap harta kebendaan dan kekayaan dengan semangat kemajuan sains dan teknologi. Maka berlaku kerakusan untuk menjajah negara yang memiliki kekayaan hasil bumi dan berlaku peperangan semata-mata untuk memiliki tanah muka bumi dan untuk meluaskan empayar dengan mengambil kesempatan dari insan yang lemah dan bangsa-bangsa yang mundur.


Semangat permusuhan dan kebencian antara kaum bertambah sengit. Di sinilah bermulanya perniagaan perang dijual-beli dengan peperangan sehingga kepada ukuran yang lebih luas dalam memusnahkan bangsa manusia dan mengangkat tinggi mertabat bangsawan lagi hartawan. Pengajaran dari sumber cahaya iman ini akan membangkitkan kita bangun untuk membasmi sifat taksub/fanatik semua sekali walau dalam apa bentuk sekali pun kerana sifat inilah yang telah merosakkan dunia kemanusiaan yang tidak akan membenarkan manusia berehat dalam keadaan tenang. Jika sifat fanatik ini masih segar, ia tidak akan membenarkan perdamaian dan ucapan salam antara kita selagi kita tidak mencabut akar umbinya. Ia tidak akan membenarkan manusia saling berkasih-sayang, adil mengadili dan perasaan persaudaraan atau kesatuan umat manusia. Paling bahaya sekali ia akan memusnahkan cahaya ketauhidan dan keimanan, menjatuhkan ketuhanan Allah dan mengangkat ketuanan melayu ke peringkat yang tertinggi.


Sifat fanatik itu tidak akan membenih kecuali apabila seseorang, satu kaum atau satu kumpulan merasai prinsip merekalah yang paling benar ditambah pula oleh sokongan ke atas salahfaham atau salahlaku mereka dengan dalil yang diyakini oleh mereka sendiri adalah benar. Mereka sangat berpegang-teguh dengan kemasyhuran prinsip salah yang mereka tanam itu dan sangat takut kepada pembaharuan atau perubahan terhadap prinsip salah yang teguh dan sangat masyhur itu. Prinsip teguh itu amat membangkitkan semangat kenegaraan, semangat kebangsaan, semangat politik berparti, semangat keturunan, semangat ketuanan dan semangat beragama.Ruh keimanan sejati yang suci dari fanatik akan keluar serta merta dengan berkobar api fanatik ini.


Adakah prinsip ini yang mereka pertahankan oleh kerana mereka meyakini bahawa prinsip mereka benar?


  • Kami benar-benar membantu rakyat. Buktinya tidak ada lagi jurang di antara orang kaya dan miskin.
  • Kami pembela agama dan pembela orang yang terinaya. Buktinya ialah ramai kaum yang lemah dan miskin diperkosakan eh silap 'diperkasakan.
  • Kami pemegang amanah. Buktinya amanah rakyat dan ramai rakyat terbala eh silap terbela.
  • Kami pembela Islam kerana Islamlah agama yang paling benar. Buktinya ramai orang berduyun-duyun masuk agama Islam dan sukakan Islam. Eh betul ke kanyataan ni?
  • Kami menepati janji. Buktinya ramai yang tidak berpuas-hati eh silap lagi 'berpuas-hati'lah.
  • Kami pencegah rasuah. Buktinya rasuah telah selesai dibasmikan. Kami pencegah maksiat. Buktinya sarang ayam sudah musnah ke semua sekali dan syarikat perjudian semakin berleluasa eh silap lagi, semakin berkurangan.
  • Kami pendamai sengketa. Buktinya tak ada lagi orang yang bergaduh dan berpecah-belah. Eh! Bole belah lah!
  • Kami bukan fanatik. Buktinya penyokong atau pembangkang kami bahagi sama adil dan saksama.

Ini adalah benar-benar prinsip dari orang yang benar-benar fanatik :-


Kami ialah orang yang fanatik. Buktinya kami bersikap terbuka dan merendahkan diri. Tidak ada yang lebih baik di antara kami, sama sahaja sebagai manusia biasa mempunyai najis yang busuk tetapi sekurang-kurangnya kami suka untuk membersihkan najis kami dan melumurkannya dengan wangi-wangian. Akan tetapi dalaman kami yang kami simpan di dalam perut tetap najis yang belum keluar baunya.

Bukti yang kami adalah fanatik ialah memang kami banyak melakukan kesalahan dan kesilapan dan kami suka kalau kami ditegur untuk kami baiki kesilapan yang selalunya kami lakukan tanpa disedari. Semoga Allah mengampuni kesalahan kami dan kamu pun maafkanlah kami dan kami berharap pertolongan Allah memberi taufik untuk kami lakukan kebaikan sedaya upaya kami dan memberi kami petunjuk kepada kebenaran.

Kami tidak mahu apa pun sanjungan dan puji-pujian daripada kamu tetapi kami suka kalau kami dapat melakukan kebaikan terhadap umat manusia sedaya upaya kami dengan pertolongan Allah jua. Tidak ada daya upaya kami kecuali dengan pertolongan Allah. Inilah sifat fanatik yang kami tunjukkan kerana kami tidak ada apa lebih pun. Hanya semua sekali adalah dengan kuasa dan kehendak Allah semata-mata. Sudahkah kamu tahu sebenar-benarnya orang yang fanatik seperti kami? Dengan sikap inilah ramai manusia berpecah belah kerana kami.

Bagaimanakah kita manusia semua boleh berpecah-belah? Aku yakin sebenarnya ia berpunca dari sikap fanatik. Orang yang fanatik kepada Islam mengatakan Islam yang mereka bawa ialah yang terbaik dan mereka akan kempen manusia kepada Islam. Tetapi setahu aku tidak ada satu ayat pun di dalam Al-Quran suruh kempen kepada Islam, Cuma banyak ayat yang suruh kempen hanya kepada Allah. Kempen tu bahasa melayu lah ! Bahasa Arabnya ialah dakwah bukan 'dakyah' ingat bunyi dah dekat antara dakwah dengan yang satu lagi tu!!

Kalau ada pun satu ayat dalam surah As-Saf ayat 7, orang yang mendustakan terhadap Allah sedangkan dia diajak kepada Islam. Begitu pun kalau ajak kepada Islam, masih tidak ada hujjah yang kuat kerana Islam kini pun telah berpecah kepada 73 puak. Islam yang mana satu yang kita nak ikut. Oleh itu fanatik kepada Islam pun masih tidak dibenarkan pada zaman ini difatwakan oleh seorang Mujaddid (Namanya 'rahsia')

Cuba baca firman Allah ini "Katakanlah: "Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik." Yusuf 108.

Bagaimana hendak kempen kepada Islam untuk negara Malaysia sahaja? Islam kan untuk seluruh manusia. Akan tetapi umat Islam pun telah banyak berpecah-belah. Kita pun jadi keliru. Kalau kita kempen kepada bangsa melayu, bangsa lain macamana pula? Aku rasa sampai kiamat umat tidak boleh bersatu. Itu akan menimbulkan fanatik kepada bangsa melayu sahaja. Bangsa lain akan marah.

Lebih baik kempen kepada Pencipta Sekelian Alam. Orang putih, orang hitam, orang campur-campuran, orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Yahudi, orang Islam, orang Kristian, orang PAS, orang UMNO dan semua orang adalah ciptaan Allah dan hamba Allah. Kalau kita kempen kepada Pencipta Alam Semesta yang mana semua agama, semua orang percaya ada Pencipta Yang Esa bagi seluruh alam, aku rasa sedikit sebanyak orang akan bersatu di bawah kalimah Pencipta Alam. Untuk Pencipta Alam, akan terhapus fanatik dan tidak akan ada jenis-jenis fanatik, tidak ada siapa yang lebih dengan Pencipta Alam.

No comments:

Post a Comment