Monday, July 19, 2010

Kita Manusia berasal dari satu umat

Firman Tuhan Pencipta Alam semesta,

Manusia itu adalah umat yang satu. (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, yaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkann itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.
(Al-Baqarah ayat 213)

Wahai saudaraku sekelian, marilah kita renungkan sejenak firman tuhan di atas. Kenapa kita dahulunya satu umat dan satu agama? Agama yang satu itu ialah agama tauhid iaitu asal semua agama yang berpecah sekarang ini.

Dalam perkataan lain seolah-olah Tuhan berkata "Wahai manusia tidakkah kamu ketahui kenapa kami ciptakan kamu dari tanah yang sama? Ialah supaya jangan ada seorang pun di antara kamu yang membanggakan diri ke atas yang lain. Fikirkanlah setiap masa tentang kejadian dirimu itu. Sepatutnya kamu menganggap diri kamu itu satu kejadian yang sama seperti juga manusia lain umpama kamu berjalan seperti seorang lelaki, makan dengan mulut yang sama, tinggal di bumi yang sama, wajah muka dan perbuatan serta perkataan yang sama."

Kata lain, jiwa dan perasaan, zahir dan batin adalah dalam satu bahasa yang dapat kamu fahami walaupun ia dihuraikan dengan pelbagai perkataan. Kamu dapat merasainya sama seperti manusia lain merasainya di dunia ini.

Kenapa manusia berselisih faham? Kita kembali kepada pengertian agama yang berasal dari bahasa sanskrit 'fahaman' atau 'ajaran' ketuhanan yang dipatuhi setiap ketetapan, aturan, hukum dan lain-lain yang dipercayai berasal dari Tuhan. Lihat perkataan pada rangkap di atas tadi 'dalam satu bahasa yang dapat kamu fahami'.

Fungsi agama: Dari segi pragmatisme, seseorang itu menganut sesuatu agama adalah disebabkan oleh fungsinya. Bagi kebanyakan orang, agama itu berfungsi untuk menjaga kebahagiaan hidup. Tetapi dari segi sains sosial, fungsi agama mempunyai dimensi yang lain seperti apa yang dihuraikan di bawah:

  • Menjawab pelbagai soalan yang tidak mampu dijawab oleh manusia. Sesetangah soalan yang sentiasa ditanya oleh manusia merupakan soalan yang tidak terjawab oleh akal manusia sendiri. Contohnya soalan kehidupan selepas mati, matlamat hidup, soal nasib dan sebagainya. Bagi kebanyakan manusia, soalan-soalan ini adalah menarik dan untuk menjawabnya adalah perlu. Maka, agama itulah berfungsi untuk menjawab soalan-soalan ini.

  • Memberi rasa kekitaan kepada sesuatu kelompok manusia. Agama merupakan satu faktor dalam pembentukkan kelompok manusia. Ini adalah kerana sistem agama menimbulkan keseragaman bukan sahaja kepercayaan yang sama, malah tingkah laku, pandangan dunia dan nilai yang sama.

  • Memainkan fungsi kawalan sosial.Kebanyakan agama di dunia adalah menyaran kepada kebaikan. Dalam ajaran agama sendiri sebenarnya telah menggariskan kod etika yang wajib dilakukan oleh penganutnya. Maka ini dikatakan agama memainkan fungsi kawalan sosial.

Kita cuba menyelami bahasa yang tidak bersuara yang dirasai sama oleh semua manusia yang telah mengesahkan sejarah kemanusiaan dan perasaan sedih serta pilu yang dirasai sama oleh yang terinaya. Kenapa banyaknya berlaku pertumpahan darah di setiap penjuru dunia ini dengan terlaksananya peperangan yang menjahanamkan, pertengkaran, pertikaian yang tidak kunjung penyelesaiannya. Seolah-olah kita membenci diri kita sendiri atau seumpama kita membenci anak-anak kita sendiri dari generasi ke generasi.

Kalau sekiranya kami tunjukkan akar umbi keruntuhan ini dari pembangunan sifat-sifat kemanusiaan yang dicita-citakan oleh naluri semua ciptaan yang bernama manusia iaitu keamanan, ketenteraman, keindahan serta kedamaian dalam hubungan yang baik, tetapi apa yang berlaku tindakan kebanyakan manusia menyimpang jauh dari cita-cita naluri yang murni. Jika kami cungkil akar umbi kerosakan ini, nescaya tumbuh melata di muka bumi ini pelbagai penyakit fanatik, egoistik, tamak haloba, hasad dengki dan banyak lagi tumbuhan beracun dan berduri di muka bumi ini.

Jelasnya para anbiya dan para rasul telah dibangkitkan bagi tujuan menyatukan kata-kata seluruh umat manusia dengan menghimpunkan mereka dalam satu fahaman dan satu ajaran yang terbaik demi untuk kebaikan. Kata-kata yang satu itu ialah dinamakan kalimah tauhid (dalam bahasa Arab). Menyatukan manusia dalam satu fahaman dan satu pengertian tanpa mengeluarkan sekeping suara pun atau bahasa apa pun yang dapat dilafazkan tetapi ia dapat difahami oleh semua yang bernama manusia iaitu sentuhan perasaan tanpa lafaz berupa perasaan kasih sayang, cinta menyintai, saling merasai belas kasihan, perasaan memaafkan yang menzahirkan perlakuan muafakat dan saling membantu.

No comments:

Post a Comment