إيمان أمانة أمان
Bebas ertinya tidak ada paksaan dalam agama dan konsep beriman juga berkisar dalam keihklasan yang terkandung di dalamnya sifat suka dan redha terhadap pencipta alam semesta.
Di bawah ini saya menerangkan ciri-ciri orang yang beriman, beramanah dan akan membawa keamanan sejagat.
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Jinn ayat 14:
... ... Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang taat dan ada (pula) orang-orang yang menyimpang dari kebenaran. Barangsiapa yang taat, maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus.
Meskipun seseorang telah mengambil keputusan realistik memilih ketaatan, tidaklah serta merta ia boleh mengisytiharkan bahawa dirinya pasti akan masuk syurga, sebagaimana pengisytiharaan orang-orang Yahudi dan Nasrani.
Seseorang dimasukkan ke dalam Syurga hanyalah atas rahmat Allah s.w.t.. Para ahli syurga yang digambarkan oleh Allah s.w.t. di dalam surah Al-Imran ayat 107:
Dan bagi mereka yang wajahnya menjadi putih bersih, merekalah yang akan berada dalam rahmat (syurga) Allah, mereka itu kekal di dalamnya.
Pada ayat ini kata Rahmat digunakan sebagai kata-ganti untuk Syurga sebagai mengingatkan kita bahawa masuknya seseorang ke dalam Syurga adalah kerana rahmat yang terbesar dari Allah s.w.t..
Sungguhpun demikian, Allah s.w.t. juga memberi petunjuk kepada kita dengan Al-Qur’an bagaimana ciri-ciri orang yang patut sebagai ahli syurga. Ciri-ciri ini disebutkan didalam Surah Al-Mu’minun dan Surah Al-Ma’arij. Perhatikanlah Surah Al-Ma’arij ayat 19~21.
Pertama, Allah s.w.t. menggambarkan sifat manusia secara umum. Allah s.w.t. berfirman:
Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kedekut. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kedekut,
Namun, di antara manusia ada juga yang tidak berperilaku sedemikian. Ada pengecualian segolongan manusia yang ciri-cirinya digambarkan dalam Surah yang sama Al-Ma’arij ayat 22~28,
Kecuali orang-orang yang mengerjakan shalat, yang mereka itu tetap mengerjakan shalatnya, dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu, bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mau meminta), dan orang-orang yang mempercayai hari pembalasan, dan orang-orang yang takut terhadap azab Tuhannya. Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka tidak dapat orang merasa aman (dari kedatangannya).
Perlu digariskan bahawa Allah s.w.t. boleh hanya mengatakan bahawa mereka telah mengetahui hak-hak para fakir dan miskin. Namun, Allah s.w.t. menegaskan bahawa mereka yang beriman menyisihkan hartanya untuk para fakir dan miskin, dengan perhitungan matematik yang tepat, dan didefinisikan kepada berapa bahagian dari hartanya yang harus dikeluarkan untuk mereka yang memerlukan (para fakir dan miskin).
Dengan kata lain, mereka selalu membayar zakat yang telah ditetapkan sebanyak 2.5% (dua setengah peratus). Abu Bakar Ash-Shidiq R.A. adalah yang terbaik pemahamannya mengenai makna ayat-ayat ini. Beliau mengirimkan pasukannya untuk memerangi pengingkar zakat meskipun mereka yang ingkar itu tetap mengerjakan shalat. Dikatakannya bahawa sholat seseorang tidak akan diterima Allah s.w.t. sehingga ia menunaikan zakatnya.
Oleh kerana itulah, Allah s.w.t. selalu menyebut secara bersamaan setiap kali berfirman tentang kewajiban Shalat dan Zakat di dalam Al-Qur’an. Lebih lanjut, Allah s.w.t. memberi petunjuk agar kita bersedekah/berinfaq sebagai tambahan selain membayar Zakat di berbagai ayat di dalam Al-Qur’an. Surah Al-Muzammil ayat 20:
Dan dirikanlah sholat dan bayarlah Zakat, dan pinjamkanlah kepada Allah s.w.t. dengan pinjaman yang baik.
Ciri-ciri berikutnya dari orang-orang yang termasuk dalam golongan khusus ini adalah, mereka beriman atas adanya Hari Pengadilan/ Pembalasan (yaumuddin) tidak hanya beriman dengan lisan, kecuali dengan kesedaran untuk mempertanggung-jawabkan segala amal-perbuatan selama hidupnya di dunia. Sebagai contoh orang-orang yang akan diberi catatan amal perbuatan di tangan kanan mereka pada Hari Pembalasan, menerangkan bahawa rahsia keberhasilan mereka itu adalah sebagaimana yang terkandung dalam ayat 20 Surah Al-Haqqah berikut ini:
Sungguh, aku yakin bahawa aku pasti menemui hisab terhadap diriku.
Perhatikan pula Surah Al-Ma’arij ayat 26~28:
Dan mereka yang membenarkan adanya Hari Pembalasan. Dan mereka takut kepada azab/siksa Tuhan mereka. Sungguh siksa Tuhan mereka itu membuat tidak seorangpun merasa aman.
Ciri-ciri orang-orang mukmin berikutnya ialah mereka selalu takut terhadap azab Allah s.w.t.. Ketika para sahabat mendengar ayat-ayat tersebut, mereka bertanya kepada Nabi Muhammad SAW, ”Ya Rasulullah (s.a.w.), Apakah dirimu juga takut dengan azab Allah s.w.t.?”. Bagindapun menjawab:”Tentu saja, bahkan aku pun takut dengan azab Allah s.w.t. kerana tidak seorang pun boleh menganggap dirinya terbebas dari azab Allah s.w.t..”
Oleh kerana itu, seorang mukmin tidak boleh menyombongkan diri atas amalannya. Ia hendaklah berperilaku rendah hati dan semakin rendah hati lagi, dan semakin takut terhadap azab Allah s.w.t.. Selanjutnya Allah berfirman dalam surah Al-Ma’arij ayat 29~31:
Dan mereka itu menjaga kemaluan mereka. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak-budak perempuan yang mereka miliki, maka sesungguhnya dalam hal demikian ini mereka tiada tercela. Barangsiapa yang mencari selain dari itu maka mereka itu telah melanggar batas.
Dengan demikian, maka segala bentuk pemuasan seksual selain yang disebut dalam ayat di atas berada di luar garis ketentuan Allah s.w.t. dan sama sekali tidak diperkenankan oleh Allah s.w.t..
Ciri-ciri mukmin yang lain, disebutkan oleh Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ma’arij ayat 32 bahawa:
Mereka memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janji-janjinya.
Mengkhianati amanat yang dibebankan dan melanggar janji tergolong dalam dosa-dosa besar. Rasullullah Muhammad s.a.w. bersabda: “Janji adalah hutang yang harus dibayar”.
Selanjutnya, dalam Surah Al-Ma’arij ayat 33 Allah s.w.t. berfirman:
Dan mereka itu berpegang teguh atas kesaksian (syahadat) mereka.
Ini bererti pula bahawa mereka memelihara di dalam hati sanubari, janji mereka kepada Allah s.w.t. atas keimanan mereka. Perhatikan Surah Al-Ma’arij ayat 34,
Dan orang-orang yang memelihara (dengan sebaik-baiknya) sholat mereka.
Di dalam ayat ini Allah s.w.t. menyatakan bahawa orang-orang beriman itu sangat penuh perhatian terhadap sholat mereka dan mengerjakan semuanya, yang fardhu dan yang sunnah.
Sangat menarik bahawa di sini kita melihat bahawa Allah s.w.t. memulakan penghuraian ciri-ciri mukmin dari hal penegakan sholat dan mengakhiri dengan hal sholat juga. Dengan demikian menjadi jelaslah bahawa sholat adalah hal yang sangat penting dalam pandangan Allah s.w.t., oleh kerana itu pertama kali yang akan ditanyakan kepada setiap orang di Hari Pembalasan nanti adalah Sholat, jika mereka gagal dalam hal sholat maka tidak satu pun dari amalan lainnya diterima oleh Allah s.w.t..
Selanjutnya, di dalam Al-Ma’arij ayat 35 Allah s.w.t. menetapkan keputusan-Nya bahawa orang-orang yang memiliki ciri-ciri sebagaimana telah dihuraikan di atas, akan diberi ganjaran Syurga. Kelihatan jelas di sini bahawa ada banyak hal yang harus dilaksanakan oleh seseorang agar dirinya menjadi calon yang layak sebagai penghuni Syurga.
Sesungguhnya, jika seseorang mengerjakan secara tulus ikhlas salah satu dari hal-hal tersebut, hal-hal yang lainnya boleh dilaksanakan secara mudah dan bersahaja. Jika ia mengamalkan seluruh resepi tersebut maka, atas kemurahan/kasih-sayang Allah s.w.t., dia masuk Syurga.
Semoga Allah s.w.t. menganugerahi kita kekuatan untuk melaksanakan kesemua ciri-ciri di atas.
Hadiah terpenting dari Allah s.w.t. kepada umat manusia adalah disediakanNya petunjuk yang membimbing kita dari berbagai bentuk kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah s.w.t. sangat berbahagia jika kita memanfaatkan petunjukNya. Sebagaimana terkandung dalam Surah Al-Ahzab ayat 43,44:
Dialah (Allah s.w.t.) yang telah merahmatimu, dan demikian juga para malaikat-Nya (memohon untukmu), Agar Dia mengeluarkanmu dari kegelapan kepada cahaya, dan Dia adalah yang sangat penyayang kepada orang-orang beriman.
Penghormatan bagi mereka (mukminin) pada hari perjumpaan denganNya adalah Salam. Dan Dia (Allah s.w.t.) telah menyiapkan pahala yang mulia bagi mereka.
Allah s.w.t. berfirman kepada Rasulullah SAW didalam Surah Al-Ahzab ayat 47:
Dan kabarkanlah kepada orang-orang beriman berita gembira, bahawa mereka akan mendapat kurnia yang besar dari Allah.
Semoga Allah s.w.t. memperhitungkan kita termasuk di dalam golongan mereka yang akan memperolehi kurnia yang besar dari-Nya. Amiin
KESIMPULAN
Syarahan di atas berkisar tentang keimanan atau kepercayaan kepada Tuhan Semesta Alam serta bukti-buktinya melalui perlaksanaan. Ia berkisar di dalam tiga perkataan.
- Iman/Kepercayaan : Kepercayaan tentang wujudnya Tuhan Pencipta sekelian alam yang maha berkuasa ke atas segala-galanya.
- Amanah/Diberi Kepercayaan : Memelihara amanat dan janji. Mengkhianati dan melanggarinya akan menempa ketidak-amanan dari azab Tuhan.
- Aman/Kesentosaan : Jika semua orang beramanah dan menepati janji, dunia ini akan aman. Itu janji Tuhan. Jika tidak, ia akan berlaku di sebaliknya, azab Tuhan dirasai sendiri di dunia lagi sebagai peringatan. Jelasnya dunia ini huru hara disebabkan pengkhianat dan pendusta.
Shahdan: Kepercayaan adalah hak setiap individu, tidak boleh dipaksa kerana ia sejenis perasaan di hati. Manusia tidak boleh memaksa orang lain untuk mempercayai sesuatu kepercayaan. Terpulanglah kepada individu masing-masing untuk memilih kepercayaan mereka.
No comments:
Post a Comment